CHATROOM

Wednesday, November 3, 2010

Bad Boys bukan artis tempelan


Trio dari Sabah yang menggelar diri mereka Bad Boys bukan kumpulan baru yang bertapak dalam industri seni. Bakat mereka diketengahkan oleh Adam AF melalui naungan syarikat milik Adam, Aico Entertainment sejak dua tahun lalu.

Namun, entah di mana kekurangannya, bakat tiga anak muda iaitu Ry’an (22), Yandy (26) dan Marlon (22) dari Kota Kinabalu, Sabah seolah-olah dipandang sepi peminat industri tanah air.

Hanya langkah lincah mereka yang dapat dilihat mengiringi hampir setiap persembahan Adam mahupun Stacy.

Menurut Ry’an, Bad Boys bukan sekadar artis tempelan yang hanya mengiringi persembahan Adam ataupun Stacy tetapi mereka ada keistimewaan sendiri dan berharap diberi peluang mempamerkan bakat yang ada.

“Jika di Kuala Lumpur tidak ramai yang mengenali kami dan tidak tahu kami boleh menyanyi. Tetapi berlainan pula di Sabah, mereka tahu mengenai kami dan dapat menerima kami.

“Saya berharap masyarakat di Semenanjung khususnya memberi peluang kepada kami kerana kami mempunyai keistimewaan tersendiri. Kami bukan sahaja boleh menari bahkan boleh menyanyi,” kata Ry’an, mewakili Yandy dan Marlon.

Bad Boyz akan tampil dengan album mini berjudul Bad Boyz yang memuatkan empat buah lagu seperti Bila Kau Tiada, Sayang Ku Janji, Pacar Pisau Cukur di mana kesemua lagu digubah sepenuhnya oleh Adam dan dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

Menariknya, lagu-lagu mereka menggabungkan tempo rancak, pertengahan rancak dan perlahan (pop balada). Pendek kata, kumpulan ini lebih menumpukan kepada konsep pop dance dan tarian menjadi sebahagian dari persembahan untuk menarik perhatian peminat.

“Kami memilih konsep pop dance dan pop shuffle kerana konsep seperti itu belum pernah diketengahkan di Malaysia,” katanya yang akan berlatih menari dan menyanyi bersama yang lain selepas jam 12 tengah malam memandangkan Yandy dan Marlon mempunyai kerja sampingan pada siang hari.

Walaupun masih baru, sudah ada beberapa dakwaan yang mengaitkan Bad Boys tidak boleh menyanyi dengan baik dan lebih kepada klon Adam.

“Adam adalah senior ataupun mentor kami, jadi tentulah orang akan membandingkan Bad Boys dengan Adam. Tapi apa yang membezakan kami adalah kami bergerak berkumpulan sedangkan Adam solo.

“Tentang nyanyian pula, ia bergantung kepada keadaan. Jika sesebuah lagu itu memerlukan kami menari, kami menggunakan teknik On Top, maksudnya nyanyian secara langsung, seiring dengan nyanyian latar,” ujarnya yang turut menjadi koreografer kumpulan itu.

Ketika ditanya mengapa memilih nama yang agak unik, tapi boleh dilihat mempunyai unsur negatif, Ry’an menjelaskan bahawa nama kumpulan itu bukanlah bermaksud jahat sebaliknya nama singkatan.

“Bad itu bukan bermaksud jahat. Tapi itu akronim Budak Ada Disiplin. Dari situ singkatannya, BAD. Tapi bagi kami, rasanya ia tidak akan memberi kesan negatif. Apa yang penting peminat menghargai dan menerima kami,” akhiri Ry’an.

No comments:

Post a Comment